News

Timbalan presiden PAS tiba di Istana Negara


Hari ini, beberapa lagi pemimpin parti politik dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Semalam, Sultan Abdullah menerima menghadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin – pertemuan mingguan sebelum mesyuarat Kabinet – sebelum kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Difahamkan, antara isu yang menjadi topik perbincangan dalam pertemuan itu penularan wabak Covid-19 dan tempoh pelaksanaan darurat.

Malaysiakini membawa laporan langsung dari pintu istana.


10.20 pagi: Kereta Toyota Vellfire hitam yang dinaiki timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat tiba di Istana Negara.

Pegawai Tuan Ibrahim mengesahkan Menteri Alam Sekitar dan Air itu hadir untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kereta itu masuk melalui pintu 2 Istana Negara.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada masa ini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Petugas media hari ini tidak lagi dibenarkan berada di tepi pintu pagar istana, tetapi dibolehkan memerhati tidak berapa jauh dari situ.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Semalam merupakan hari pertama Agong menerima menghadap pemimpin-pemimpin parti politik di negara ini.

Selain Muhyiddin – yang memang menghadap Agong setiap Rabu sebelum mesyuarat Kabinet – pertemuan lain semalam semuanya melibatkan pemimpin pembangkang.

Ini termasuklah ketua pembangkang Anwar Ibrahim, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, dam presiden anah Mohamad Sabu.

Mereka menghadap Agong secara berasingan, dengan setiap pertemuan mengambil masa kira-kira sejam.

Pun begitu, tidak banyak yang mereka dedahkan sebaik mereka keluar dari Istana Negara.

Apa yang dinyatakan hanya naratif ringkas: bahawa perbincangan adalah sekitar isu menangani Covid-19, penarikan darurat, dan pembukaan semula Parlimen.

Difahamkan, pemimpin-pemimpin GPS juga akan mengadakan pertemuan dengan Agong menerusi panggilan video pada Isnin depan (14 Jun).

Ini disahkan pejabat Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Abang Johari ialah pengerusi GPS – yang merupakan gabungan di Sarawak, terdiri daripada PBB, PRS, PDP, dan SUPP. 



Source link

Related Posts