News

Masa wajib untuk PH buktikan Anwar memang layak jadi PM, kata Kadir


Ketika kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri terus dipersoalkan, Pakatan Harapan (PH) “wajib” membuktikan secara tuntas bahawa Anwar Ibrahim adalah tokoh paling layak menjadi perdana menteri.

Wartawan veteran dan bekas penasihat media perdana menteri A Kadir Jasin berkata ketika ini isu yang sedang menjadi perhatian ialah usaha mengetepikan Muhyiddin daripada jawatan perdana menteri.

Pada masa sama wujud pula “kluster mahkamah” dari Umno yang campur tangan dalam urusan kerajaan Perikatan Nasional.

Kedua-dua keadaan itu katanya membuka jalan kepada penyusunan semula politik negara.

“Serentak itu PH wajib berusaha sekeras-kerasnya bagi membuktikan once and for all yang Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, adalah orang paling layak menjadi Perdana Menteri.

“Kalau masih tidak berjaya berhentilah daripada menyalahkan orang lain,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Sebilangan ahli parlimen Umno – termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi – kini sedang gigih membuktikan bahawa Muhyiddin sudah kehilangan majoriti di parlimen dan mesti berundur.

Bagaimanapun Muhyiddin bertegas dan menyatakan sebaliknya. Muhyiddin juga mendakwa wujud pihak tertentu yang mahu dia campur tangan dalam kes-kes mahkamah melibatkan ahli politik.

Tak semestinya sokong Anwar

Untuk rekod, dalam keadaan tidak semua ahli parlimen memihat kepada Ahmad Zahid, Umno tidak mungkin dapat menguasai majoriti di parlimen dan membentuk kerajaan.

Pemerhati berpendapat ia membuka kepada kemungkinan wujud kerjasama Umno dengan parti tertentu.

Kata A Kadir tanpa Muhyiddin dan gangguan kluster mahkamah, wujud peluang merombak penjajaran PN agar menjadi kerjasama yang lebih besar melalui penyertaan parti-parti yang selama ini berkecuali seperti Warisan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

“Seandainya Muhyiddin kalah dalam undi percaya yang dijanjikannya bulan depan, tidak bermakna Anwar secara automatik naik menjadi perdana menteri.

“Anwar kena buktikan secara sahih yang dia mempunyai sokongan majoriti ahli dewan. (Ahli parlimen yang) tidak sokong Muhyiddin tidak bermakna menyokong Anwar,” katanya.

Pilihan yang terbaik kini, menurut A Kadir, ialah meredakan ketegangan politik sejak rampasan PN merampas kuasa daripada PH pada 17 bulan lalu dan mengembalikan kestabilan pemerintahan negara sehingga pilihan raya umum boleh diadakan.

“Kita akui sajalah yang dalam tempoh 17 bulan pemerintahannya, hatta dengan dibantu perisytiharan darurat dan belanja yang besar, kerajaan PN gagal menangani Covid-19 seperti yang dijanjikan dan memulihkan keyakinan terhadap ekonomi negara.

“Mana-mana pun kerajaan yang wujud selepas undi percaya terhadap Muhyiddin nanti tidak boleh dibenarkan memboros duit pembayar cukai ke atas bilangan menteri, timbalan menteri dan penasihat khas bertaraf menteri yang sangat ramai seperti sekarang,” katanya.



Source link

Related Posts