News

Mahkamah Tinggi Kesatuan Eropah Putuskan Majikan Ada Kuasa Utuk Pecat Pekerja Yang Memakai Hijab Ketika Bertugas


Mahkamah Tinggi Kesatuan Eropah (EU) telah memutuskan bahawa majikan boleh memecat mana-mana pekerja wanita yang berhijab ketika bertugas, lapor portal DW.

Keputusan itu dibuat berikutan kes yang difailkan oleh dua wanita Muslim di Jerman yang digantung daripada bertugas setelah mereka berkeputusan untuk memakai tudung di tempat kerja.

Menurut portal DW, mahkamah berpendapat bahawa “memakai sebarang bentuk ekspresi yang boleh mengaitkan fahaman politik, falsafah atau keagamaan di tempat kerja yang perlu mencerminkan imej neutral kepada pelanggan adalah dilarang untuk mengelakkan perselisihan sosial.

“Walau bagaimanapun, justifikasi itu itu harus sesuai dengan keperluan sebenar daripada pihak majikan serta mendamaikan hak dan kepentingan terhadap isu,” ujarnya.

Salah seorang wanita yang memfailkan kes itu bekerja di pusat jagaan kanak-kanak di Hamburg manakala seorang lagi adalah merupakan seorang juruwang di sebuah farmasi.

Difahamkan bahawa, kedua-dua mereka pada mulanya bekerja dengan tidak memakai tudung, namun memutuskan untuk memakainya ke tempat kerja setelah kembali daripada bercuti.

Dokumen daripada mahkamah dilaporkan menunjukkan wanita itu telah diberitahu oleh majikan masing-masing bahawa pemakaian tudung itu tidak dibenarkan.

Menurut laporan, mereka berdua telah diberikan pilihan oleh majikan sama ada mahu digantung bekerja, boleh bekerja tanpa memakai tudung atau cari kerja lain.

Mahkamah memutuskan bahawa dalam kes pekerja pusat jagaan itu, peraturan yang melarangnya memakai tudung diterapkan secara umum kerana pihak majikan juga mewajibkan pekerja yang memakai salib kristian untuk menanggalkannya.

Keputusan bagi kedua-dua kes itu dilaporkan akan dibawa ke mahkamah nasional untuk diputuskan buat kali terakhir sekiranya terdapat diskriminasi terhadap keputusan yang telah dibuat itu.

Pemakaian tudung oleh wanita Islam telah mencetuskan pelbagai kontroversi selama bertahun-tahun di Eropah.

Keputusan pada tahun 2017 yang dibuat oleh mahkamah EU di Luxembourg menyatakan bahawa majikan boleh memecat kakitangan yang memakai tudung atau pemakaian yang mencerminkan simbol agama lain secara terang-terangan dalam keadaan tertentu.

Keputusan tersebut dilaporkan telah mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan golongan agamawan.

Sumber: DW



Source link

Related Posts