News

KOLUM | Mabuk mahu dikenali


KOLUM | Kita semua sekarang perlu bersetuju bahawa kerajaan telah gagal dalam usaha mereka untuk menangani penyebaran wabak Covid-19 secara berkesan.

Persetujuan ini amat penting untuk ketenangan hidup kita semua. Ia juga dapat mengelakkan rasa sakit hati, tekanan perasaan. Selepas itu bolehlah kita semua meneruskan hidup dengan lebih tenteram.

Kita juga harus setuju bahawa ahli politik pada zaman bila pun kerja mereka hanya mementingkan jawatan lebih daripada segala-galanya yang ada di dunia ini.

Masakan tidak, ketika semua orang sedang susah, mereka lebih leka merangka langkah untuk menjatuhkan lawan daripada memberi tumpuan kepada masyarakat yang sedang bergelut meneruskan hidup.

Lihat saja betapa mereka lebih gemar bercakap berbanding bertindak. Mereka juga tidak ingin menggunakan kekayaan peribadi – yang kita semua syak didapati dengan cara tidak berhemah – untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Kebanyakan bank makanan (food bank) dan aktiviti membekalkan bahan makan asas diusahakan oleh orang persendirian dan NGO. Orang politik jika mereka turun memberikan apa-apa bantuan pun pasti tidak lupa untuk menampal wajah dan logo partai mereka.

Amat terserlah tiadanya keikhlasan pada pihak mereka apabila datang membantu. Semuanya mesti berlandaskan jalan untuk mempopularkan diri dan juga partai sendiri.

Sedang kita tidak dibenarkan hatta untuk menziarahi ibu bapa sendiri, mereka bergalak mahu menghantar anak yang baru berusia lima tahun bersekolah keluar negara.

Kena denda tanpa belas

Tentu ada sesuatu yang boleh dilakukan untuk mencari sebab mengapa beliau mahu menghantar anak semuda itu ke luar negara. Tentu saja anak berkenaan memerlukan penjaga sepenuh masa dan kita tentu bertanya dari mana beliau dapat belanja yang sebegitu banyak untuk menyekolahkan anak sehingga ke negara jauh.

Pada masa kita dilarang berkumpul, mereka yang sudah berpuluh tahun dalam politik dengan selamba makan minum di merata kedai kopi atau berkenduri durian. Kemudian kalau kita bernasib baik, kita dapat melihat mereka tanpa ada malu memohon maaf.

Permohonan maaf mereka tentu saja akan menambah sakit hati kita kerana apabila giliran melakukan kesalahan itu jatuh kepada orang banyak, menangis keluar air mata darah sekali pun kita akan segera didenda tanpa belas.

Ketika budak-budak kelam-kabut mencari talian internet untuk bersekolah, ada politikus yang sibuk mahu menggantung persekolah budak-budak yang gagal muncul dalam talian.

Begitulah terlepasnya politikus itu dengan realiti kehidupan orang awam.

Pada masa orang sibuk menghitung hidup, politikus sibuk mahu lebih popular. Gila popular juga sudah sampai ke puncaknya. Ia tidak lagi terhad kepada budak-budak TtikTok, malah semua peringkat manusia kini masuk ke kancah mahu segera dikenali dengan sepenuh jiwa raga.

Sedikit masa dulu adalah tidak aneh apabila ada satu dua orang pergi membeli semua kerepek yang dijual oleh peniaga dan kemudian menyiarkannya di media sosial. Konon ini adalah usaha membantu namun yang lebih besar tentu saja ianya adalah jalan mudah untuk mencari populariti.

Apabila popular, menurut mereka, maka akan bertambah ramailah penjual kerepek yang boleh mereka bantu. Gambar mereka membeli/membantu akan dipaparkan di mana-mana tanpa memikirkan sama ada si penjual kerepek itu mahu foto mereka dijaja atau tidak.

Mabuk mahu segera dikenali ini juga telah masuk ke hati orang agama hingga budak Tabligh yang tidak untung apa-apa daripada menjadi popular pun ikut terjebak.

Pergi berdakwah ke negara dekat atau jauh semuanya wajib dimuat naik ke media sosial. Berbaik bukan lagi kerana tuhan tetapi jalan untuk memenangi hati insan.

Memberi sedekah bukan lagi jalan mencari keredaan tetapi laluan untuk mencari lebih banyak sumbangan. Lalu mereka dengan tidak malu akan marah-marah kepada penerima bantuan dan kemudian ditularkan.

Tidakkah mereka tahu bahawa ada ayat al-Quran yang khas mengenai perlakuan mereka itu? Mengapa kita selalu berada berada di atas semasa giat membantu mereka yang memerlukan?

Seperti biasa izinkan kami bercerita mengenai kenangan masa lalu.

Hari itu kami semua ke rumah Aidil. Beliau menjemput kami makan-makan. Jika tidak silap, Fairuz dan Pian hadir sama. Tetamu istimewa hari itu ialah Ustaz Rauf.

Bercerita sambil membelai

Ustaz Rauf datang bersama anak perempuannya yang berusia sekitar tiga atau empat tahun. Jika tidak silap ingatan, beliau dalam perjalanan dari Golok di Siam dan mahu pulang ke Melaka.

Sewaktu kami duduk berbual sementara menunggu makanan dihidangkan, Mustakim – anak lelaki Aidil – sibuk berlari keluar masuk. Mungkin waktu itu Mustakim berusia tujuh atau lapan tahun, dan tentu saja budak sekecil itu kerjanya adalah meminta perhatian.

Aidil menjadi sedikit terganggu dengan Mustakim dan setelah ditegur berkali-kali dan tidak diendahkah, beliau jadi naik angin dan memarahi anak itu.

Kami semua membiarkan saja hal anak dan ayah itu.

Melihat kejadian itu, Ustaz Rauf lalu memanggil anak perempuan beliau yang kebetulan berada sedikit jauh dari kami. Sambil membelai rambut anak perempuannya, Ustaz Rauf mula bercerita betapa budak itu agak nakal.

“Dia ni suka melompat, suka berlari, suka keluar masuk. Dia suka kacau saya kalau saya ada tetamu. Tapi saya sayang sungguh dia,” kata Ustaz Rauf sambil memeluk dan mencium anak kecilnya.

Berulang-ulang beliau memuji anaknya itu dan semua orang faham apa yang ingin disampaikan kecuali Aidil.

Sejurus kemudian Mustakim kembali berlari di hadapan kami dan Aidil pun melompat dan mengejar anak itu.

Orang agama sepatutnya mesti mempunyai rasa kasih sayang seperti yang ditunjukan Ustaz Rauf.

Bertahun-tahun kemudian Rajawali Art Group diminta untuk mengadakan pameran khas untuk almarhum Sultan Ahmad Shah yang ketika itu menjadi Sultan Pahang.

Namun kerana waktu itu kami tidak mempunyai keyakinan untuk menguruskan pameran sebesar itu, kami menyerahkan tugas tersebut kepada Persatuan Seni Lukis dan Seni Reka Pahang (Senika).

Sewaktu bersiap untuk majlis perasmian pameran berkenaan, kami mendapat panggilan telefon yang mengatakan Ustaz Rauf meninggal dunia. Kami segera meninggalkan majlis dan bergerak ke Melaka bagi menziarahi jenazah beliau.

Aidil sendiri hari ini seorang ustaz. Beliau banyak memberi masa berceramah di merata tempat dan kami berharap sikap panas baran dan kuat merajuk beliau itu sudah ditenangkan dengan bertambahnya ilmu agama di dada beliau sekarang.

Pian sibuk terbang di dalam dan ke luar negara bagi memastikan keselamatan kilang-kilang minyak, sementara Fairuz pula sibuk menguruskan keselamatan perisian komputer syarikat membaiki jalan dalam negara yang kita cintai ini.

Iaitu negara yang menurut sesetengah orang sedang bersungguh-sungguh berusaha untuk menjadi negara pertama dalam senarai negara dunia ketiga.

Dan negara yang menterinya memakan mi segera sebagai cara mempersenda orang terbanyak dengan kata-kata: “Padan muka!”


ABDULLAHJONES ialah penulis dan pelukis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Source link

Related Posts