News

Kenyataan AG tak perlu undi percaya bercanggah titah Agong


Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan Peguam Negara, Idrus Harun bahawa undi percaya tidak perlu dilakukan apabila  Dewan Rakyat bersidang pada 13 September ini.

Menurut mereka, kenyataan peguam negara ini bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap baginda di Istana Negara pada 17 Ogo lalu.

“Seperti yang terakam di dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa: ‘Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’.

“Titah Seri Paduka Baginda ini turut ditekankan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, dan keperluan undi percaya ini telah dipersetujui semua ketua parti,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan pemimpin DAP, Lim Guan Eng.

Ini susulan kenyataan Idrus bahawa undi percaya tidak perlu dilakukan kerana Yang di-Pertuan Agong telah melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Idrus berkata undi percaya di Dewan Rakyat juga akan menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Penting diingatkan bahawa peguam negara telah hadir, menjadi saksi malah telah mendengar sendiri titah Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap ini.

“Di manakah logik dan kewarasan peguam negara apabila berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik perdana menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di parlimen apabila pembentangan usul undi percaya itu dititah sendiri oleh Seri Paduka Baginda?”soal pemimpin PH.

Mereka mengimbas duluan (precedent) sebelum ini apabila usul percaya dilakukan selepas Yang di-Pertuan Agong melantik seseorang perdana menteri bagi mengantikan perdana menteri sebelumnya.

Undi percaya pernah dilakukan pada 27 Jan 1976 iaitu 12 hari setelah Hussein Onn dilantik sebagai perdana menteri untuk menggantikan Allahyarham Abdul Razak Hussein.

Undi percaya juga dilakukan pada 3 Nov 2003 iaitu tiga hari selepas Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

“Oleh yang demikian, Majlis Presiden beranggapan bahawa kenyataan peguam negara bagi pihak kerajaan ini adalah amat biadab, melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Seri Paduka Baginda.

“Ini juga merupakan kali kedua peguam negara telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, yang sesungguhnya amat mengecewakan dan beliau tidak layak memegang jawatan peguam negara.

“PH mendesak peguam negara meletak jawatan kerana beliau bukan sahaja telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, tetapi beliau juga telah mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen,” katanya lagi.

Majlis Presiden PH turut mendesak agar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak mengikut nasihat Idrus dan mengingatkannya untuk tidak mengikuti jejak bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang keabsahannya selaku perdana menteri dipertikaikan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Mydin berkata dia juga bingung  terhadap kenyataan Idrus.

“Dengan hormatnya, saya berpendapat bahawa kenyataannya ini nampaknya mencerminkan kekeliruan pemikiran yang sepenuhya,” katanya.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang itu berkata, Idrus mendakwa ia “tidak ada kaitan dengan undang-undang atau Perlembagaan.”

“Peguam yang terpelajar seharusnya tahu bahawa Agong telah bertitah di kalangan semua ahli parlimen bahawa pelantikan PM akan diuji melalui undi di parlimen, dan ini berasaskan keadilan,” kata Hanipa dalam satu kenyataan berasingan.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut menyuarakan pendapat yang sama.

“Terdapat banyak kesilapan dalam beberapa hari lalu- pelantikan semula tiga duta khas … pelantikan semula Muhyiddin untuk mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara, dan keengganan melakukan usul percaya di parlimen, “kata anggota parlimen Iskandar Puteri itu.



Source link

Related Posts