News

Kelantan hantar 532 petugas kesihatan bantu negeri lain


Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah menghantar 532 petugas dalam pelbagai kategori ke negeri lain untuk membantu menangani kes covid-19.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Husin, petugas-petugas tersebut telah dihantar ke 6 negeri iaitu Selangor, Sarawak, Sabah, Labuan, Johor dan Kedah.

“Jadi memandangkan Kelantan ini boleh dikatakan 2 minggu kebelakangan ini kes agak menurun, kita masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga.

“Kita membantu jugalah rakan-rakan di Pantai Barat dan setakat hari ini kita telah menghantar 532 anggota kita dalam berbagai kategori ke tempat-tempat tersebut,”kata Zaini dalam sidang media Program Mobile Vaksinasi Covid-19 di Masjid Kusial Bharu, Tanah Merah, Kelantan hari ini.

Menurutnya lagi, Jabatan Kesihatan negeri Kelantan juga akan menghantar seramai 40 petugas tambahan dan 3 buah ambulans ke negeri Selangor dan Sarawak pada esok.

Selain itu, dia juga menasihatkan orang ramai terutama mereka yang ingin pulang ke Kelantan bagi merayakan sambutan Aidiladha untuk membatalkan dahulu niat tersebut supaya tidak berlakunya peningkatan kes.

“Saya berharap kepada mereka yang ingin balik ke negeri Kelantan ini untuk menangguh dululah untuk kembali sekiranya tidak betul-betul penting.

“Kita tidak mahu berlakunya peningkatan kes yang banyak dan merebaknya kes varian lain. Ini bukan saja untuk kebaikan mereka tetapi untuk kebaikan keluarga mereka juga,” ujarnya lagi.

Zaini juga mengajak orang ramai berdoa agar peningkatan kes Covid-19 terutama di Selangor dapat diatasi dan hal ini menurutnya memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak.



Source link

Related Posts