News

Bukan niat betul, buka parlimen nak tumbang Muhyiddin


Ahli Parlimen Padang Rengas Mohd Nazri Aziz menggesa supaya kerajaan PN diberi peluang terus mentadbir negara dalam memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Katanya, bukanlah niat yang betul sidang parlimen diadakan semata-mata bertujuan untuk menumbangkan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Nazri juga bersetuju sidang parlimen penuh selama 28 hari bagi memberi peluang kementerian menjawab soalan ahli parlimen dan perbahasan rang undang-undang.

“Jadi kalau parlimen ini dibuka untuk tumbang kerajaan jadi rakyat kena fikir sendirilah parti-parti yang mahu parlimen ini bersidang sematamata nak tunjuk kerajaan ini sudah tidak ada majoriti.

“Saya rasa itu bukanlah satu niat yang betul. Makna niat nak tukar kerajaan. Kalau nak tukar kerajaan, mampu ke kerajaan baru ini (menangani pandemik),” soal Nazri pada program bual bicara Segmen Sudut Pandang Malaysiapost malam ini.

Jelas Nazri, pembukaan parlimen dibuat semata-mata untuk membahas tindakan demi kepentingan rakyat.

“Tapi kalau ahli parlimen guna kesempatan itu untuk hendak tukar kerajaan, ok, mereka tidak akan dapat (jatuhkan) kerajaan ini (sekarang). Dia mesti (melalui) PRU…

“Rakyat fikir sendirilah. Orang sibuk sibuk melawan Covid, dia fikir nak tukar kerajaan.

“Kita tidak boleh halang tu. Bila parlimen bersidang boleh berlaku itu. Apabila ordinan yang dibahas tidak diluluskan RUU bil dibahas tak lepas.

“Itu boleh digunakan untuk menunjukkan kerajaan ini tidak ada majoriti,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan moderator sekiranya parlimen dibuka kemungkinan besar berlaku perebutan kuasa dan dijangka Muhyiddin boleh tumbang.

“Rakyat fikir sendirilah, kalau betul ada pilihan raya. Ingatlah orang-orang yang bercakap nak buang majoriti kerajaan yang ada pada hari ini maka niat dia nak tukar kerajaan dan hendak mengadakan pilihan raya.

“Waktu kita tengah ada Covid ini nak adakan pilihan raya? Jadi terpulanglah.

“Rakyat akan fikirkan yang mana betul-betul kerajaan yang hendak membantu rakyat ataupun kerajaan yang baru ini adakah dia ikhlas hendak membantu rakyat,” katanya.

Terdahulu, Nazri berkata walaupun rakyat marah tetapi penyelesaian terhadap wabak Covid-19 bukanlah dengan menukar kerajaan.

“Kerajaan yang baru naik itu pun belum tentu bole menyelesaikan masalah. dia lagi pula, nak start all over again.

“Katalah Anwar (Ibrahim) naik, nak mula balik lagi. Itu bukan alternatif,” katanya.

“Kita kena bantu kerajaan, bukan tukar kerajaan,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Januari lalu, Nazri bersama Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub secara rasmi menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Ini menyebabkan kerajaan hilang majoriti – insiden yang diyakini oleh banyak pihak menyebabkan darurat diisytiharkan.

Sementara itu, Nazri baru-baru ini menjelaskan tindakannya menarik sokongan daripada PN kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memintanya berbuat demikian.

Pun begitu, kini Nazri menentang Zahid selepas Presiden Umno itu didakwa berusaha menjalinkan kerjasama politik dengan Anwar.



Source link

Related Posts