News

Ahli parlimen Umno mengaku tandatangan SD sokong Anwar


Ahli Parlimen Umno Jerantut, Ahmad Nazlan Idris dilaporkan mengaku menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Mingguan Malaysia memetik Ahmad Nazlan berkata dia bersedia untuk mencuba kerajaan baru kerana pentadbiran Pakatan Harapan bawah Dr Mahathir Mohamad sebelum ini telah gagal dan pemerintahan Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin Yassin juga masih belum berjaya membantu rakyat.

“Jadi, apabila ada idea mencadangkan Anwar sebagai perdana menteri, saya bersetuju.

“Masih ada dua tahun ketika ini yang boleh kita cuba, kita dah merasai 22 bulan di bawah PH, berbelas bulan dengan PN dan kita rasa pulalah kerajaan baru, mungkin kerajaan baru itu nanti lebih berwajah baru,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Nazlan tidak mendedahkan berapa ramai ahli parlimen Umno lain yang telah memberikan sokongan kepada Anwar.

“Saya apabila diminta membuat pilihan dan pertimbangan, pada saya tidak salah kerana kerajaan hari ini belum berjaya pada hemat saya, jadi baik kita beri peluang kepada kerajaan baru,” katanya lagi.

Laporan itu juga mengatakan Ahmad Nazlan sebelum ini menyokong bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein tetapi kemudian menyokong Anwar.

Terdapat desas-desus Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sedang berusaha untuk mengeluarkan Umno daripada PN, yang akan menyebabkan keruntuhan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sekumpulan ahli parlimen Umno, termasuk Hishammuddin dan naib presiden Umno Ismail Sabri pula dikatakan berusaha untuk menyekat usaha tersebut.

Hal ini membuka ‘gelanggang’ pertarungan dalaman Umno yang juga akan menentukan nasib kerajaan PN.



Source link

Related Posts