News

Ahli parlimen pembangkang enggan sambut tawaran Muhyiddin


Perdana Menteri petang tadi mengemukakan tawaran lumayan bagi mengukuhkan sokongan ahli-ahli parlimen rentas parti terhadap kepemimpinannya.

Bagaimanapun, kebanyakan ahli parlimen dan parti pembangkang tidak menunjukkan minat terhadap tawaran Muhyiddin Yassin yang disifatkan sebagai usaha terakhir presiden Bersatu itu menyelematkan kedudukannya.

Ia termasuklah parti politik utama seperti PKR, Amanah dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) apabila pemimpin-pemimpin mereka sebelum ini secara terbuka menyatakan tidak akan menerima tawaran damai Muhyiddin.

Mereka bahkan terus menggesanya untuk meletakkan jawatan. Berikut adalah antara reaksi ahli parlimen terhadap tawaran Muhyiddin itu.

Fahmi Fadzil,

Pengarah Komunikasi PKR, ahli parlimen Lembah Pantai:

Saya sangat terkejut apabila perdana menteri secara terbuka dan terang-terangan mengumumkan dia telah hilang majoriti dalam siaran di televisyen.

Jadi tidak timbul tawaran atau sebarang persoalan lain kecuali kita perlu selesaikan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Ketika seorang perdana menteri hilang majoriti, maka hanya ada dua pilihan mengikut perlembagaan – sama ada dia meletak jawatan atau menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar parlimen dibubarkan.

Dalam perlembagaan tidak disebut pilihan ketiga seperti dibuat Muhyiddin petang ini, maka ia di luar perlembagaan.

Fahmi Fadzil

Kedua, saya lihat, bak kata (timbalan speaker Dewan Rakyat) Azalina Othman, dah terlambat. Muhyiddin terdesak, dan dia bukan berada di kedudukan untuk membuat semua tawaran ini, yang (asalnya) memang idea kami pun.

Tentang isu Undi 18, kami dah luluskan pada 2019. Pentadbiran dia yang menangguh-nangguhkan pelaksanaannya. Begitu juga cadangan untuk mengehadkan (tempoh jawatan) perdana menteri hanya kepada dua penggal sahaja, itu idea kami.

Ia terhenti kerana Langkah Sheraton, dan dia adalah penerima manfaat terbesar.

Jadi, tergamak Muhyiddin menawarkan sekerap (bahan buangan) kepada kami? Pada saya, secara asas dari sudut perlembagaan, ini boleh menjadi ultra vires, di luar bidang kuasa dia, apa-apa lagilah yang masih tinggal pada dia.

Saya tak rasa Muhyiddin berada di kedudukan untuk membuat sebarang tawaran untuk kekal sebagai perdana menteri. Saya rasa dia perlu meletak jawatan malam ini.

Marzuki Yahya

Timbalan Presiden Pejuang:

Memang pendirian Pejuang takkan terima apa juga tawaran. Yang penting bagi kami ialah dia itu perdana menteri yang tidak mempunyai majoriti.

Dia tak perlu buktikan majoriti. Dia memang dah sah tak ada majoriti. Dia kena melepaskan jawatan sebagai perdana menteri. Dan bukan (hak) dia untuk buat andaian sama ada pihak pembangkang ada majoriti atau tidak untuk melantik perdana menteri yang baru.

Itu semua kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Kami takkan pertimbangkan (tawarannya). Dia dah nak kalah. Ini rasuah secara terbuka kepada semua ahli parlimen, scheme of things.

Hannah Yeoh

Ahli parlimen Segambut:

Masalah terbesar saya dengan PN ini ialah ketidakcekapan (incompetency) menteri kabinet mereka yang membawa Malaysia ke tahap kita ada sekarang.

Ucapan Muhyiddin hari ini tidak menyentuh tentang ketidakcekapan itu dan tidak mengubah apa-apa bagi membantu Malaysia keluar dari huru-hara yang berlaku sekarang.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), ahli parlimen Muar:

Apabila kuasa dan jawatan sudah di hujung tanduk, baru nak cari pembangkang ajak duduk semeja. Pengumuman khas perdana menteri penuh dengan hipokrasi dan helah.

Semuanya dibuat untuk tinggal sehari lebih lama dari hak yang sudah terlucut dengan kehilangan sokongan majoriti Dewan Rakyat.

Waktu nak hilang kuasa, barulah terfikir nak beri peruntukan tahunan yang sama kepada ahli parlimen pembangkang. Hampir dua tahun pembangkang tidak terima peruntukan sama daripada kerajaan PN.

Lupakah perdana menteri apabila pembangkang merayu untuk peruntukan parlimen diberikan secara adil dan saksama, hingga sanggup tawar macam-macam hanya untuk kekalkan kuasa yang sudah terlucut hilang?

[…] Masa untuk Muhyiddin berundur secara terhormat. Letak jawatan dengan kadar segera.

Chan Foong Hin

Ahli parlimen Kota Kinabalu:

Ke hadapan perdana menteri, terima kasih atas maklumat mengenai reformasi tadi yang negara ini memang berhak terima. Kamu mengakui PN sudah hilang (sokongan) majoriti ahli parlimen hari ini, meskipun kamu menipu apabila kamu isytiharkan yang kamu masih mempunyai sokongan semasa pertemuan dengan Agong minggu lalu.

Jika PH sebahagian daripada kerajaan baru, jangan risau, kami akan laksanakan semua reformasi yang disebut itu, dengan lebih baik berbanding kamu!

Masa dah tamat. Sila berundur.

Hasanuddin Mohd Yunus

Ahli parlimen Hulu Langat:

Dia mengaku dia kehilangan majoriti apabila mengatakan tiada siapa ada majoriti. Mengesahkan dia kehilangan kepercayaan ahli parlimen.

Urusan membuktikan majoriti siapa layak jadi perdana menteri pula adalah urusan kedua dan ia sedang berjalan rancak dan sudah tentu melibatkan istana.

Semua tawaran ini adalah sebahagian tuntutan kami sejak awal lagi. Selama ini ia diabaikan. Selepas gagal mengurus negara, adakah wajar untuk kami sertai mereka demi untuk membantu mereka mempertahankan kuasa?

Kami bukan katak yang boleh dibeli seperti rakan-rakan mereka. Kami ada prinsip, ketegasan dan maruah.

Kami mahu pulihkan negara dan melakukan perubahan menyeluruh menyelamatkan rakyat yang tersiksa. Izinkan kami selamatkan negara

Kami masih tegas mahu pastikan Rahmatan Lil Alamin, pelaksanakan maqasid syariah yang sentisa menjaga kepentingan sejagat rakyat Malaysia tidak kita apa agama bangsa dan keturunan. Kami mahu pentadbiran yang baik (good governance) dalam pentadbiran negara

Warisan, PSB, Upko, Muda:

Kami sekeras-kerasnya menolak tawaran politik yang dibuat oleh Muhyiddin dalam pengumuman khas petang tadi.

Sejak tahun lepas lagi parti-parti pembangkang membuat cadangan untuk menstabilkan kerajaan melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement).

Walaupun Muhyiddin menjadi perdana menteri dan membentuk kerajaan melalui pintu belakang, kami bersedia untuk bertolak ansur demi kemaslahatan dan kebajikan rakyat. Namun Muhyiddin dengan sombong menolak segala tawaran pembangkang.

[…] Kami mendesak Muhyiddin untuk meletakkan jawatan dengan cara terhormat dan benarkan proses demokrasi berjalan semula.

Segala cadangan reformasi yang kononnya dibentangkan oleh Muhyiddin boleh diangkat dan dibawa ke parlimen oleh perdana menteri baru yang mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat dan bukan daripada perdana menteri pintu belakang.

Muhyiddin perlu meletak jawatan dengan kadar segera.

Pun begitu Presiden Parti Bersatu Sabah, Maximus Ongkili, berpendapat sebaliknya.

Kata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu senario politik kini tidak menentu dan pendirian mana pun yang diambil, merupakan peluang yang jarang berlaku untuk bekerja bersama-sama dan mengetepikan perbezaan politik, selaras slogan ‘rakyat didahulukan’.

“Tugas yang lebih genting adalah untuk memenangi perang melawan Covid-19, menyelamatkan nyawa dan mencapai pemulihan ekonomi.

“Ini bukanlah masa untuk bergaduh tentang siapa patut menjadi perdana menteri. Kita boleh selesaikan masalah itu dengan pilihan raya umum (PRU).

“Tapi ini bukanlah masanya untuk mengadakan PRU. Rakyat berhak mendapat perkhidmatan yang lebih baik daripada kerajaan, berbanding dipaksa turun ke pilihan raya semasa waktu yang tragik seperti ini.

“Tujuh cadangan untuk kestabilan dan kerjasama oleh perdana menteri wajar dipertimbangkan dengan positif oleh semua pihak. Ia merupakan satu peluang untuk kerjasama rentas parti dan berganding bahu untuk meletakkan negara ini kembali berdiri kukuh ke arah pemulihan kesihatan dan ekonomi.

“Saya menggesa rakan-rakan saya di pihak pembangkang untuk mengambil peluang ini bagi meletakkan keperluan dan keutamaan negara demi kestabilan politik dan ekonomi, dan bersama-sama membawa negara ini ke hadapan sebagai komitmen solidariti kita,” katanya.



Source link

Related Posts